Dua tahun kemelut, balu Abam Bocey menang kes saman fitnah Ali Puteh
Balu pelawak Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah Mohd Ali akhirnya dapat menarik nafas lega apabila menang dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap adik iparnya Ali Puteh.
Menurut laporan mStar Online, keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan sebenar tadi.
Peguam yang mewakili Nor Hidayah iaitu Mohamed Ibrahim Mohamad berkata, hakim telah menolak tuntutan dibuat keluarga Allahyarham Abam yang meninggal dunia pada 10 Februari 2020 dengan kos.
“Kami percaya keputusan ini membersihkan segala kata-kata negatif yang dilemparkan kepada anak guam kami.
“Sebelum ni dikatakan ada pihak telah dianiaya oleh anak guam, namun mahkamah jelaskan tidak berlaku sebarang penganiayaan sebaliknya anak guam kami yang dianiya,” katanya.
Berikutan itu, Ali yang juga pelawak diperintahkan membayar ganti rugi kepada kakak iparnya itu sebanyak RM60,000.
Kemelut antara Nor Hidayah dan Ali bermula sejak dua tahun lalu apabila kedua-dua belah pihak saling memfailkan saman berhubung harta membabitkan peninggalan Allahyarham Abam nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan.
Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: mStar Online (Ali Toupan Rajalee)