Pakar Bius Maut, Porsche Dipandu Hilang Kawalan


Jika kereta mewah seperti Porsche pun boleh hancur berkecai apatah lagi nasib kereta-kereta yang berharga murah.

Pokok pangkalnya, jika anda memandu jangan sesekali mengikut hawa nafsu untuk memecut laju di jalan raya. Hanya kerana kesilapan kecil, nyawa anda boleh melayang!


Itulah nasib malang seorang pemandu kereta Porsche Coupe apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat, Johor pagi tadi.

Keadaan itu menyebabkan pemandu berkenaan melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu sebelum melambung serta terbalik beberapa kali ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah Toyota Vellfire.


Lebih malang lagi, mangsa yang merupakan seorang pakar bius di hospital swasta dilaporkan tersepit di bawah kereta mewah itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong beberapa bahagian  kereta itu bagi mengeluarkan mangsa,” kata Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Saifulle Idris.


Sementara itu, pemandu Vellfire bernasib baik kerana terselamat biarpun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.